Nuffnang

Friday, 14 February 2014

Tentang Saya

Teks: Haryati Dulbahri

Assalamualaikum w.b.t

Ketika entri pertama ini ditulis, anak kecil saya Harith Imran berusia 2 tahun setengah sedang sibuk bermain bloks dan lego sambil menghabiskan kuih donut yang saya sediakan untuk sarapan pagi tadi. Alhamdulillah, syukur sangat ke hadrat Ilahi kerana dapat melihat anak membesar di depan mata. Lebih-lebih lagi, saya dapat melihat Harith Imran bertambah sihat dan lebih aktif seperti kanak-kanak yang lain. 

Berbanding setahun yang lalu, kesihatan Harith memang kurang memuaskan sejak lahir dalam usia pra-matang, prolong jaundice ketika dalam pantang, masalah batuk berpanjangan seawal usia 2 bulan, setiap bulan sekurang-kurangnya akan demam dan  sehinggalah dirujuk kepada Pakar Kanak-Kanak kerana masalah asma.

Alhamdulillah sejak saya menjadi surirumah sepenuh masa setahun yang lalu, Harith bebas daripada masalah asma dan sangat aktif di samping kakaknya Arissa Safiya, yang kini berusia 6 tahun. Saya juga amat gembira dan berpuas hati kerana sehingga kini masih berpeluang menyusukan Harith. Alhamdulillah rezeki susu ibu untuk Harith masih ada.  

Keputusan suami untuk saya menjadi surirumah sepenuh masa amat saya syukuri demi keluarga dan anak-anak tercinta. Kalau diikutkan hati memang berat untuk melepaskan jawatan yang disandang, maklumlah sudah biasa dengan rutin harian sebagai ibu yang bekerja sebelum ini. Ditambah lagi dengan persepsi dan persoalan yang datang, kenapa berhenti kerja? Kenapa? Kenapa? Ramai yang kata tidak rugi ke belajar tinggi-tinggi tapi jadi surirumah sahaja? Saya hanya terima sahaja persoalan tersebut dengan hati yang terbuka, sabar dan berdoa suatu hari nanti saya dapat membuat sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada saya dan orang lain, walaupun saya hanya seorang surirumah. Sejak itu, saya nekad untuk menjadi surirumah dan bekerja dari rumah atau istilahnya lebih sinonim dengan WAHM (Working At Home Mom). Jutaan terima kasih kepada suami tercinta atas sokongan dan keputusan ini. InsyaaAllah saya sebagai isteri dan Ummi akan melaksanakan amanah dan tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya.

Berbalik kepada tajuk entri ini, saya merupakan anak kelima daripada sembilan adik-beradik. Nama panggilan manja adik-beradik dirumah, mereka suka panggil saya 'Ti' atau 'Kekti'. Kalau di sekolah dan universiti, kawan-kawan suka panggil saya menggunakan nama 'Yat' ataupun Yati sahaja. Abah merupakan seorang pesara tentera dan Mak seorang surirumah sepenuh masa. Kami adik-beradik membesar di kampung dalam keadaan sederhana dan alhamdulillah kini semua berjaya dengan kerjaya masing-masing. Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di Universiti Islam Antrabangsa Malaysia (UIAM) dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian. Selepas tamat pengajian di universiti, saya memulakan kerjaya di sektor swasta dalam bidang pengurusan event dan seterusnya pengurusan Sumber Manusia. Hampir 5 tahun bekerja di sektor swasta saya berkhidmat pula dengan sektor kerajaan sebagai Pegawai Tadbir. Banyak pengalaman yang saya belajar ketika berkhidmat di kedua-dua sektor ini termasuklah bidang pengurusan event, pemasaran dan jualan, IT, pentadbiran am dan pengurusan sumber manusia. Pengalaman berharga ini akan digunakan untuk saya meneruskan perniagaan maya yang akan saya ceburi ini.

Kebetulan semasa saya sedang mencari maklumat dari blog ke blog berkenaan dekorasi dan hiasan rumah, alhamdulillah rezeki saya telah terjumpa blog guru online saya, Puan Khairunnisa Hamzahara di laman blog beliau iaitu Panduan Untuk Kediaman Rumah. Beliau yang lebih dikenali sebagai Nisa Nua sangat berpengalaman dan arif dalam bidang Senibina dan hiasan dalaman. Saya rasa sangat kagum dengan beliau dan rasa sangat bersyukur kerana Allah telah mempertemukan saya dengan blog beliau dan seterusnya blog Akademi Bekerja Di Rumah yang diasaskan oleh Puan Masayu Ahmad. Bermula dari satu entri ke entri lain yang saya baca dalam blog tersebut, semakin bersemangat saya untuk memulakan perniaagaan maya dari rumah, walaupun status saya sekarang hanya seorang surirumah. Sebelum berhenti kerja dahulu saya memang bercadang untuk membuat perniagaan maya ini, akan tetapi saya tidak tahu untuk mula daripada mana. Setahun sudah berlalu, dalam masa setahun itu juga saya membuat kajian dan mencari rujukan untuk melaksanakan perniagaan maya ini. 

Alhamdulillah sekarang saya tetapkan nawaitu saya untuk berbisness dan insyaallah istiqamah dengan apa yang dirancang. Dalam masa yang sama, saya juga berhasrat untuk berkongsi maklumat dan ilmu yang bermanfaat melalui penulisan saya nanti.

Apabila kita menuntut ilmu pasti ada gurunya, selepas terjumpa blog Puan Nisa saya terus hubungi beliau dan mendaftarkan diri dalam Kelas Asas Blog ini. Harapan saya, saya dapat belajar dan berguru daripada seorang professional yang sudah berjaya sebagai WAHM yang berjaya. Melalui kelas ini, matlamat saya untuk menambah pengetahuan dan kemahiran dalam selok-belok blog dan penulisan. Penulisan yang baik mampu mempengaruhi pembaca untuk terus membaca dan mengikuti perkembangan sesuatu blog. Daripada penulisan blog ini saya yakin boleh pergi lebih jauh lagi untuk menghasilkan e-book untuk produk saya kelak. Rasa bagaikan mimpi pula kerana tidak percaya jari-jemari ini boleh menulis sebenarnya.Ya lah, selagi tidak mencuba mana hendak tahu hasilnya (dalam hati tersenyum sendiri). Dalam masa yang sama juga melalui kelas ini, saya dapat juga bertukar pandangan dan pendapat antara guru dan pelajar yang lain berkenaan kelas yang dianjurkan.

Seterusnya apabila sudah boleh membina blog, saya mahukan fanpage niaga sendiri sebagai platform untuk saya memulakan perniagaan maya nanti. Sabagai permulaan saya akan menjalankan perniagaan menggunakan produk-produk yang saya sendiri gunakan. Dengan erti kata lain, diri saya sendiri adalah testimonial kepada produk yang saya akan pasarkan. Ini memberi keyakinan kepada saya dalam memasarkan produk dan menarik minat bakal pengguna/ pelanggan untuk sama-sama mendapat manfaat daripada produk yang saya gunakan. Insyaallah sebagai permulaan saya akan berkongsi bersama-sama manfaat makanan tambahan sunnah Madu Lebah Kelulut keluaran Syamille Agro Farm dan produk Tupperware Brands sebagai bekas simpanan wajib ada bagi setiap rumah dan semestinya menjadi produk pilihan dalam susunatur surirumah di ruang dapur.

Dalam perniagaan maya ini, saya berhasrat untuk mengembangkan lagi produk dalam bidang jahitan dan kraf. Saya amat meminati jahitan sejak zaman sekolah lagi. Setakat ini saya berkebolehan menjahit baju kurung sendiri. Untuk meneruskan hasrat ini, saya akan menambah kemahiran dalam jahitan dan bercadang untuk fokus kepada jahitan pakaian kanak-kanak. Insyaallah suatu hari nanti saya akan mempunyai produk sendiri dalam seni jahitan ini.

Harapan saya semoga saya istiqamah dengan apa yang dirancang. Nawaitu saya membuat perniagaan maya ini adalah kerana Allah swt. Sesungguhnya Allah swt adalah sebaik-baik perancang. Saya hanya berusaha sebaik-baiknya. InsyaaAllah rezeki Allah itu maha luas. Cepat atau lambat sahaja. Yang penting kita sentiasa kembali kepada-Nya di samping suami, keluarga dan sahabat semua sebagai pemberi semangat untuk terus dalam bidang ini. InsyaAllah saya akan menjadi WAHM yang bejaya suatu hari nanti. Semoga apa yang saya usahakan ini bukan sekadar untuk diri sendiri, malah dapat memberi manfaat kepada orang lain. Amin.

Selamat membaca dan beroleh manfaat bersama-sama.

Salam Kasih dan Perkenalan :-)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

POPULAR ENTRI DI WAHM CORNER

KLIK JER!

KLIK JER!

KLIK JER!

NUFFNANG