Nuffnang

Tuesday, 11 March 2014

5 Langkah Mudah Memulakan Perniagaan Internet

Teks: Haryati Dulbahri

Assalamualaikum w.b.t

Salam petang sahabat semua. Alhamdulillah, hari ini dengan izin-Nya diberi kekuatan untuk kita semua melaksanakan setiap tindakan yang telah dirancang. Sebelum saya meneruskan entri pada hari ini, marilah sama-sama kita terus berdoa dan memohon kepada Allah s.w.t supaya dipermudahkan segala usaha pencarian dan menyelamat pesawat MH370 yang sehingga kini masih belum ditemui. Sesungguhnya kepadaMu Ya Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Memberi Petunjuk, kami berserah dan memohon pertolonganMu Ya Allah. Amin.

Hari ini saya ingin kongsikan pula tips perniagaan yang saya baca sebentar tadi di blog Sifu Perniagaan Internet, saudara Irfan Khairi. Tips perniagaan ini amat berguna sekali untuk saya dan sahabat semua yang baru hendak memulakan perniagaan Internet. Untuk makluman sahabat semua, saya juga dalam proses melaksanakan langkah mudah ini untuk memulakan perniagaan internet saya seperti yang telah disarankan oleh saudara Irfan Khairi.

Jom kita hayati langkah demi langkah yang mudah untuk memulakan perniagaan internet.

1. Cari Produk atau perkhidmatan

Untuk memulakan sesuatu perniagaan internet, perkara pertama sekali yang kita perlu ada adalah produk atau perkhidmatan yang hendak dijual atau ditawarkan. Sekiranya sahabat semua tidak ada lagi produk/perkhidmatan yang hendak dijual, sahabat semua boleh membuat analisa dahulu apakah produk yang sesuai untuk dijual. Cuba cari produk atau perkhidmatan yang sememangnya disukai ramai, produk yang sememangnya menjadi keperluan pelanggan, produk yang unik ataupun cuba jual produk yang sememangnya orang ramai nak sangat beli tapi kita segan nak beli di kedai biasa.

Sebagai contoh, saya di Mompreneur Shoppe ada menjual produk madu kelulut. Bagi saya madu kelulut ini adalah unik dan susah didapati di mana-mana kedai runcit biasa. Bila ada demand di situlah ada permintaan. Apa yang saya guna saya akan cuba tawarkan dalam Mompreneur Shoppe. Ini kerana saya tahu akan manfaat dan keberkesanan produk tersebut.

2. Ambil gambar produk

Menurut Sifu Irfan Khairi, kita perlu berusaha untuk mengambil produk atau perkhidmatan kita sendiri. Ini adalah penting sekali kerana dalam perniagaan internet, semua urusan adalah secara maya. Bakal pelanggan tidak dapat menyentuh atau membelek-belek barang yang hendak dibeli. Oleh itu, gambar produk kita adalah amat penting sekali untuk meyakinkan bakal pelanggan kita. Pastikan gambar tersebut adalah hasil daripada tangan kita sendiri dan ianya diambil secara professional.

3. Bina blog

Setelah langkah 1 & 2 dibuat, kita perlu membina blog khas untuk produk atau perkhidmatan tersebut. Ya, blog sangat penting untuk memudahkan bakal pengguna mencari maklumat atau sesuatu berkenaan produk yang dijual. Blog yang kita bina akan muncul di enjin carian google. Ini kita sedia maklum kerana sebagai pengguna internet, kita suka mencari info atau sesuatu carian dengan membuat carian di google. Betul tak sahabat semua?

Tidak tahu bagaimana bina blog? Mudah sahaja, kita boleh mulakan dahulu membina blog di blogspot.com yang sememangnya percuma atau kita boleh juga membina blog yang berbayar sekiranya mempunyai bajet yang lebih. Sekarang begitu mudah untuk membina blog, sekiranya kita tidak mahir saya cadangkan sahabat semua untuk belajar bina blog. Banyak tutorial bina blog di internet dan buku-buku rujukan berkenaan bina blog ini. Pilihan tersebut semuanya terletak di tangan sahabat semua.

Seperti saya, saya tahu bina blog tapi kurang mahir. Jadi saya memilih untuk berguru iaitu dengan mengikuti Kelas Online Asas Blog dan Penulisan yang dianjurkan oleh Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR). Ini bagi memastikan saya lebih mahir dalam penulisan di blog, supaya blog saya nampak cantik dan lebih informatif dan yang lebih penting blog saya sebagai platform untuk bakal pelanggan mendapatkan maklumat produk yang dikehendaki. Di samping itu, blog ini juga dapat mewujudkan hubungan networking dengan rakan perniagaan maya yang lain.

4. Buka akaun fanpage niaga khas di Facebook

Langkah seterusnya adalah membina satu fanpage niaga khas di Facebook untuk menjual produk atau perkhimatan kita tersebut. Kita tidak boleh menjual di Facebok peribadi kerana berkemungkinan besar akaun kita akan ditutup serta merta kerana pihak Facebook mempunyai terma dan syarat khusus di mana kita hanya boleh menjual menggunakan akaun fanpage sahaja.

Untuk langkah ini, saya juga telah memilih untuk menyertai kelas online yang di anjurkan oleh ABDR iaitu Kelas Online Asas Blog dan Fanpage Niaga. Mudah bukan? Sekiranya kita tidak tahu, kita perlu dapatkan ilmu tersebut samada melalui buku, tutorial di internet atau berguru dengan orang yang telah berjaya melakukannya.

5. Promosi Produk/ Perkhidmatan

Langkah akhir sekali adalah mempromosikan produk atau perkhidmatan kita tadi. Dalam perniagaan online, apabila sudah ada blog dan fanpage niaga, kita perlu iklankan kepada bakal pelanggan tentang kewujudan blog dan fanpage  kita tadi. Untuk membuat pengiklanan, kita boleh letakkan di laman web pengiklanan secara percuma seperti di Mudah.my dan lain-lain. Ataupun, kita boleh mengeluarkan sejumlah bajet untuk diiklankan di google dan menyewa slot iklan dimana-mana blog atau forum yang berkaitan.

Baiklah sahabat semua, untuk makluman setakat hari ini, saya sudah melakukan langkah 1 sehingga 3. Sahabat semua pula bagaimana? Semoga tips ini dapat menjadi panduan kepada sahabat semua yang ingin memulakan perniagaan internet seperti saya. Berfikir dan bertindak sekarang. Semoga berjaya ya!

Untuk artikel penuh berkenaan tips mudah memulakan perniagaan internet oleh Sifu Irfan Khairi, sahabat semua boleh klik di sini.

Salam kasih.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

POPULAR ENTRI DI WAHM CORNER

KLIK JER!

KLIK JER!

KLIK JER!

NUFFNANG