Nuffnang

Friday, 14 March 2014

Ingatlah 5 Perkara Sebelum 5 Perkara

Assalamualaikum w.b.t

Teks: Haryati Dulbahri
Foto dan hadis: Carian Google

Salam pagi jumaat, penghulu segala hari. Alhamdulillah, sekejap sahaja masa berlalu. Hari ini masuk hari ke-7 pesawat MH370 hilang dan masih lagi tidak dapat dikesan. Usaha mencari dan menyelamat masih lagi diteruskan. Sejujurnya selagi pesawat tersebut tidak ditemui, selagi itulah saya dan sanak-saudara yang lain masih tertanya-tanya apakah nasib yang menimpa saudara kami iaitu saudara Muzi bin Yusop dan penumpang-penumpang yang turut berada dalam pesawat MH370. Sebagai hamba Allah yang lemah dan kerdil, kami hanya mampu berdoa dan terus berdoa memohon petunjuk, pertolongan dan kekuatan kepada Yang Maha Esa. Moga hari ini dan hari yang mendatang akan memberi perkhabaran yang baik tentang pesawat MH 370. Insyaallah.

Sebagai peringatan bersama, hari ini saya ingin berkongsi akan 5 perkara ini sebelum 5 perkara sebagaimana Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama: masa sihat sebelum sakit. Kedua: masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga: masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat: masa mudamu sebelum masa tua dan kelima: masa hidup sebelum tiba masa mati".
(Hadis Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi) 



1. Kaya Sebelum Miskin
Maksudnya di sini, dalam waktu kita kaya, berharta atau senang pada waktu inilah kita boleh menolong orang yang lebih susah dan memerlukan mengikut kadar kemampuan kita. Tidak kiralah pertolongan tersebut dalam bentuk material atau sebaliknya. Bersedekah itu juga adalah bentuk pertolongan kita kepada yang memerlukan. Ini kerana sedekah yang ikhlas akan menjadi bekalan kita di akhirat kelak. 

2. Sihat Sebelum Sakit
Semasa kita masih sihat lakukanlah sesuatu perkara yang berfaedah dan mendatangkan kebaikan kepada diri kita dan juga orang lain. Nanti apabila sudah tidak sihat, pastinya kita sudah terbatas untuk melakukan sesuatu.

3. Muda Sebelum Tua
Semasa kita masih muda inilah masanya untuk kita terus berusaha mencari kemewahan di samping kita tidak lupa untuk menunaikan kewajipan kepada Yang Maha Pencipta. Ini kerana apabila kita sudah tua, kita tidak lagi memikirkan hal duniawi.

4. Lapang Sebelum Sempit
Pada waktu kita masih ada kelapangan dan kesempatan, inilah waktunya yang paling sesuai untuk kita mendalami ilmu agama sebagai panduan hidup dan bekalan di akhirat kelak

5. Hidup Sebelum Mati
Mati itu pasti dan hanya Allah s.w.t sahaja yang tahu bila kita akan mati. Sesungguhnya sewaktu kita masih hidup, semua 4 perkara tersebut kita masih berpeluang untuk lakukan dan laksanakan. Akan tetapi, apabila kita sudah tiada di dunia ini, hanya amal soleh, sedekah jariah dan anak yang soleh sahaja yang menjadi bekalan kita di akhirat.

Semoga 5 perkara ini menjadi pedoman dan peringatan untuk kita semua.

Wallahua'lam.



#Teruskan Berdoa Untuk MH370 #Let's Keep On Praying For MH370 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

POPULAR ENTRI DI WAHM CORNER

KLIK JER!

KLIK JER!

KLIK JER!

NUFFNANG