Nuffnang

Monday, 21 April 2014

4 Langkah Asas Membina Jenama Perniagaan

Teks: Haryati Dulbahri

Assalamualaikum w.b.t



Salam hari Isnin. Moga hari ini memberi seribu kebahagiaan dan keceriaan untuk kita semua. Ayuh, kita teruskan melangkah. Melangkah menuju matlamat yang kita tetapkan. Jangan dibiarkan hanya menunggu.

Baik, teringat saya event yang akan berlaku hujung minggu ini. Bengkel terakhir di Kelantan iaitu Bengkel Branding Yourself & Strategies oleh guru online dan mentor saya di Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR) iaitu Puan Khairunnisa Hamzahara @ Nisa Nua. Memandangkan saya tidak dapat hadir ke bengkel ini, saya tertarik untuk kongsikan sedikit panduan berkenaan jenama perniagaan berdasarkan pembacaan dan pemerhatian saya. Bagaimana kita membina jenama perniagaan. Seperti yang telah saya bincangkan pada entri yang lalu (klik di sini), jenama perniagaan memainkan peranan yang sangat penting dalam memperkenalkan perniagaan dengan bakal pelangan supaya produk atau perkhidmatan yang ditawarkan dipercayai, dicari dan diperlukan oleh bakal pelanggan. Membina jenama perniagaan juga adalah konsep atau strategi penting untuk kita berjaya dalam sesuatu perniagaan, tidak kira untuk perniagaan kecil-kecilan ataupun perniagaan berskala besar.

1) Membina Nama Perniagaan
Langkah pertama dalam membina jenama perniagaan adalah dengan mempunyai nama jenama perniagaan. Nama ini mestilah nama yang mudah diingati pelanggan. Pastikan nama tersebut mudah disebut, mempunyai ejaan yang betul dan makna yang dekat di hati pelangan atau prospek. Ibarat dari mata turun ke hati, bila sudah kenal jatuh cinta pula. Begitu juga dengan nama jenama kita, daripada nama, pelanggan ingin tahu mengenai perniagaan kita dan seterusnya daripada nama jugalah antara pelanggan kita akan bercakap dari mulut ke mulut. Akhirnya dengan hanya menggunakan nama jenama yang mudah diingati tadi akan menjadikan perniagaan kita dicari pula oleh prospek pelanggan yang lain. Jadi, dalam membina jenama, menjaga nama baik kita juga adalah penting sebagai langkah untuk kita mengekalkan reputasi dan berjaya dalam perniagaan.

2) Mempunyai Warna Perniagaan
Selain mempunyai nama, warna perniagaan juga adalah salah satu langkah membina jenama perniagaan. Kita lihat sahaja contoh perniagaan besar yang berjaya sekarang. Sudah tentu mereka mempunyai jenama yang hebat dan pastinya mempunyai warna perniagaan sendiri. Kenapa warna perniagaan penting dalam membina jenama? Baik, jawapannya mudah sahaja. Dengan mempunyai warna perniagaan, ia melambangkan sesuatu yang professional di mata pelanggan. Warna juga memberi impak positif kepada perniagaan kita kerana ia melambangkan imej  dan keseluruhan reputasi perniagaan. Jadi, gunakan warna perniagaan ini sebaiknya sebagai warna tema dalam keseluruhan perniagaan samada untuk tujuan pemasaran perniagaan seperti bahan promosi, kempen pemasaran dan warna tema di premis perniagaan kita. Apabila pelanggan lihat warna perniagaan kita diselaraskan untuk seluruh operasi perniagaan, persepsi yang baik daripada pelanggan tadi secara tidak langsung membina jenama perniagaan kita  secara perlahan-lahan.

3) Membina Slogan Perniagaan
Langkah seterusnya untuk membina jenama perniagaan adalah dengan mempunyai slogan perniagaan. Tips slogan yang baik adalah mudah diingati, jelas dan punya maksud yang tepat dan hanya perlu beberapa patah perkataan yang dapat menjelaskan misi, harapan atau mesej sesuatu perniagaan kepada bakal pelanggan. Selain itu, slogan yang baik adalah slogan yang dapat membezakan perniagaan kita dengan pesaing perniagaan kita. Antara contoh slogan yang kita selalu dengar di sekeliling kita seperti The Power of Dreams, Everybody Can Fly, I'm Loving It!, Moving Forward dan banyak lagi. Apabila kita baca slogan ini sudah tentu kita akan ingat dan tahu ia dimiliki oleh perniagaan tertentu. Seperti nama dan warna, slogan juga digunakan dalam keseluruhan operasi pemasaran perniagaan. 

4) Membina Logo Perniagaan
Nama, warna dan slogan perniagaan sudah pun ada. Seterusnya untuk memantapkan lagi jenama perniagaan, kita gabungkan 3 elemen penjenamaan ini ke dalam langkah seterusnya iaitu membina logo perniagaan. Logo perniagaan yang baik adalah gabungan  antara nama perniagaan, warna perniagaan dan slogan perniagaan. Logo perniagaan kita ini ibarat lambang atau imej sesuatu perniagaan. Gunakan logo ini juga pada setiap kali kita melakukan promosi perniagaan sama ada melalui bahan bercetak atau digital. 

Dalam membina jenama perniagaan, tidak dinafikan ianya sesuatu yang mengambil masa dan bukanlah sesuatu yang mudah. Ianya merupakan satu proses yang perlu dilakukan secara konsisten melalui pemasaran dan pengiklanan yang berterusan. Empat (4) elemen atau langkah yang dibincangkan tadi adalah langkah awal dalam membina jenama perniagaan. Walau bagaimanapun, secara keseluruhannya untuk menerangkan maksud 'jenama perniagaan' yang lebih baik adalah bermaksud 'pengalaman keseluruhan pelanggan kita'. Dengan erti kata lain, apa-apa sahaja yang berkaitan dengan perniagaan kita akan memberi kesan kepada jenama perniagaan. Ini termasuklah reputasi kita dengan pelanggan, personaliti dan cara penampilan kita, komunikasi antara kita dan pelanggan, perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan dan pelbagai aspek yang berkaitan dengan jenama perniagaan kita. 

Secara kesimpulannya, dalam membina jenama perniagaan, sebagai usahawan kita mesti peka dalam setiap aspek perniagaan untuk memberi impak, gambaran atau persepsi yang positif dan baik terhadap jenama perniagaan kita. Apabila jenama perniagaan kita sudah diyakini dan dikenali, tidak mustahil nanti bakal pelanggan yang akan mencari produk atau perkhidmatan yang kita tawarkan.

Semoga panduan ini dapat membantu kita membina jenama perniagaan. Saya juga masih dalam proses untuk membina jenama berdasarkan panduan ini. 

Sama-sama kita menuju kejayaan.

Salam kasih sayang
Yati Dbahri
WAHM Corner: Panduan Berniaga Dari Rumah
1 WAHM, 1 Bisnes Dari Rumah

*****
Belajar menjenamakan perniagaan walau hanya berniaga di rumah dengan menyertai Bengkel Branding Yourself & Strategies oleh Puan Khairunnisa Hamzahara. Beliau adalah guru online dan mentor saya di Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR). 

Ayuh sertai bengkel akhir ini di Kota Bahru, Kelantan.

PM saya di WAHM Corner atau hubungi melalui SMS/WA: 019-6627100 @ email: haryatidulbahri@gmail.com

Atau daftar terus di www.bengkelbranding.com


-->> Untuk mengetahui pakej kelas ABDR: Sila klik di sini: PAKEJ KELAS ABDR

-->> Untuk pakej ebook ABDR: Sila klik di sini: EBOOK ABDR

-->> Untuk menjadi rakan niaga (pengurus online) ABDR: Sila klik di sini: RAKAN NIAGA ABDR

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

POPULAR ENTRI DI WAHM CORNER

KLIK JER!

KLIK JER!

KLIK JER!

NUFFNANG