Nuffnang

Thursday, 22 May 2014

7 Magnet Murah Rezeki

Teks: Haryati Dulbahri
Sumber: Majalah IK (Inspirasi Kejayaan; Isu 05; 2012).

Assalamualaikum w.b.t

Salam hari khamis untuk semua pembaca blog WAHM Corner. Pagi tadi saya mengemas majalah-majalah lama, tiba-tiba saya terjumpa majalah IK (Inspirasi Kejayaan) yang diterbitkan oleh Sifu Perniagaan Internet, saudara Irfan Khairi. Pernah tak kalian baca majalah ni? Pada pendapat saya majalah ini sangat menarik kerana kandungannya penuh dengan informasi-informasi berkenaan motivasi perniagaan, perniagaan internet, kisah inspirasi kejayaan usahawan lain dan banyak lagi. 

Saya belek satu persatu helaian majalah ini dan saya baca satu entri menarik di majalah ini dan saya rasa terpanggil untuk kongsikan dengan kalian. Mungkin kalian juga pernah membaca tentang tajuk ini iaitu 7 Magnet Murah Rezeki menurut perspektif Islam. Jom kita hayati apakah 7 magnet murah rezeki tersebut. Saya oleh semula isi kandungannya mengikut pemahaman pembacaan saya. (Untuk artikel penuh, kalian boleh baca Majalah IK; Isu 05; 2012).

1) Mohon Keampunan Dari Allah SWT dan Bertaubat Dari Dosa
Fitrah kita sebagai manusia seringkali lalai dan leka kerana kita seringkali tewas kepada nafsu. Nafsu yang kadang-kadang mendorong kita melakukan kesalahan dan dosa. Jadi sebagai hamba-Nya, kita perlu mohon keampunan dari Allah s.w.t. Lebih-lebih lagi dalam konteks mencari rezeki. Rezeki itu adalah daripada Tuhan dan kita mesti berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari rezeki tersebut. Kita percaya bahawa rezeki itu sebenarnya sangat kuat hubungannya dengan Allah s.w.t dan Allah juga sudah memberi jaminan rezeki kepada hamba-Nya seperti firman-Nya dalam Al-Quran, Surah Al-Imran ayat 37 yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidal terhitung jumlahnya". (Ali 'Imran 3:37)

Oleh itu, memohon keampunan kepada Allah adalah sangat penting untuk mendapat keredhaan hidup di dunia dan akhirat. Begitu juga dalam konsep rezeki. Adalah menjadi keutamaan untuk kita mencari redha-Nya dalam setiap usaha kita. Kita sebagai khalifah-Nya, pohonlah keampunan dari Allah s.w.t atas segala dosa dan kesalahan yang kita lakukan. Selalulah kita bertaubat dari dosa yang dilakukan dan kembali kepada-Nya Yang Maha Mencipta dan Menentukan. InsyaAllah, apabila usaha kita diredhai Allah swt, pintu rezeki akan terbuka untuk kita seluas-luasnya.

2) Mohon Keampunan Sesama Manusia
Tugas kita seterusnya adalah memohon keampunan sesama manusia. Kehidupan kita di dunia adalah sementara. Sebagai manusia kita tidak lepas daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Lebih dari itu, kadang-kadang kita tidak sedar yang kita telah melakukan kesilapan sesama manusia. Sebagai contoh mengumpat, mengutuk, hasad dengki, prasangka buruk, mencuri, menipu dan sebagainya.

Oleh itu, kita perlu ada rasa tanggungjawab untuk mengakui dan memohon maaf atas kesalahan dan kesilapan yang kita lakukan sesama manusia. Sesungguhnya Allah swt Maha Pengampun dan sedia mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya. Begitu juga kita sebagai manusia, kita perlu memohon keampunan sesama manusia kerana manusia itu sendiri yang dapat mengampunkan kesalahan kita.

3) Memohon Keampunan dan Doa Ibu Bapa
Setiap apa yang kita lakukan, kita mestilah memohon keampunan dan doa restu daripada kedua ibu bapa kita. Siapalah kita di dunia ini tanpa mereka berdua. Terlalu banyak jasa dan pengorbanan kedua ibu bapa terhadap kita sebagai anak-anak. Jadi, dalam setiap usaha yang kita lakukan, pohonlah keampunan selalu daripada mereka. Kemudian pohonlah juga doa dan restu daripada kedua ibu bapa kita. Inilah yang akan menjadi kunci magnet murah rezeki kita dan seterusnya kunci kejayaan kita. InsyaAllah.

4) Solat Sunat Dhuha
Sebagaimana yang kita ketahui, setiap amalan yang disukai dan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w terkandung pelbagai hikmat dan fadhilatnya. Begitu juga bagi kita yang mengerjakan solat sunat dhuha. Solat sunat dhuha ini adalah salah satu amalan Rasullulah s.a.w yang digalakkan untuk diamalkan. Inilah sebahagian amalan yang menjadi magnet murah rezeki.

Rasulullah s.a.w bersabda yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a dalam hadis yang bermaksud:

"Siapa saja yang dapat mengerjakan solat Dhuha dengan istiqamah, akan diampuni dosanya oleh Allah, sekalipun dosa itu seluas lautan".

Rasullullah s.a.w bersabda lagi yang bermaksud:

"Solat Dhuha itu mendatangkan rezeki dan menolak kefakiran (kemiskinan), dan tidak ada yang akan memelihara solat Dhuha kecuali hanya orang-orang yang bertaubat".

5) Menjaga Amal Makruf, Solat 5 Waktu dan Banyakkan Zikir
Sudah menjadi kewajipan kita untuk mengajak sesama manusia kepada perkara-perkara yang makruf (kebaikan) dan mencegah daripada melakukan sebarang kemungkaran. Kunci magnet murah rezeki yang seterusnya adalah untuk kita menjaga amalan kebaikan. Kita wajib taat kepada perintah Allah yang terkandung dalam Rukun Islam. Sebagai contoh, solat lima waktu. Dalam kesibukan kita mencari rezeki, kita hendaklah utamakan perintah Allah swt. Kita dahulukan waktu solat dan jangan sesekali meninggalkannya. 

Begitu juga dengan amalan berzikir. Seperti yang kita tahu, amalan berzikir banyak kelebihannya. Apabila kita berzikir ia mampu mendekatkan kita kepada Allah swt sebagai cara kita mengingati-Nya. 

Allah swt berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud:

"Sesungguhnya (wajib) beruntung bagi mereka yang membersihkan (hati) dan (dengan) berzikir menyebut nama Tuhannya (serta) mendirikan solat". (Surah Al-A'laa: 14-15)

Daripada ayat di atas jelas menunjukkan bahawa jaminan Allah s.w.t bagi sesiapa yang mengingati-Nya (berzikir) akan mendapat keuntungan dan pahala yang besar di dunia dan di akhirat. 

Oleh itu, kita mestilah menjaga semua amalan kita. Kita cuba untuk memperbanyakkan apa-apa amalan yang mendatangkan kebaikan dan jauhkan daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang. InsyaAllah dimurahkan rezeki kita oleh Allah s.w.t.

6) Berzakat dan banyakkan bersedekah
Firman Allah s.w.t dalam Al-Quran yang bermaksud:

"Sesiapa meminjamkan kepada Allah dengan pinjaman yang baik, maka Allah akan mengembalikannya berlipat ganda untuknya, dan baginya pahala yang mulia". (Surah Al-Hadid; 57:11)

Kunci magnet murah rezeki yang seterusnya adalah berzakat dan memperbanyakkan amalan bersedekah. Dalam Islam antara ibadah wajib yang dititikberatkan adalah solat dan berzakat. Zakat dapat membersihkan harta kita dan adalah hubungan kita sesama manusia. Dengan berzakat kita dapat membantu orang lain yang lebih memerlukan. Begitu juga dengan amalan bersedekah. Selain dapat membantu yang memerlukan, sedekah juga dapat meluaskan rezeki kita. Perluaskanlah rezeki kita dengan memberi dan terus memberi. InsyaAllah, semakin banyak kita memberi semakin banyak rezeki yang kita terima.

7) Berdoa Bersunguh-sungguh Diwaktu Mustajab Berdoa
Doa adalah sebaik-baik senjata bagi orang mukmin. Jadi, sebagai hamba-Nya, jangan sekali-kali kita berhenti berharap dan berdoa kepada Yang Maha Esa. Setiap perkara yang kita lakukan kita mestilah iringi dengan doa. Kita berusaha bersungguh-sungguh, fokus dan istiqamah dalam melakukan sesuatu. Selebihnya kita bertawakkal dan berdoa semoga Allah s.w.t memurahkan rezeki kita dan seterusnya membuka pintu rezeki seluas-luasnya. InsyaAllah.

Semoga perkongsian ini dapat memberi panduan dan pedoman kepada kita semua.

Wallahua'lam.

Salam kasih sayang,

Yati Dbahri
WAHM Corner: Panduan Berniaga Dari Rumah
1 Suri, 1 Bisnes Dari Rumah

*****
Ayuh bergabung dengan kami di Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR): mencecah 700 blog, 13 guru online, 2 trainer kewangan/akaun dan berpuluh rakan niaga ABDR.

-->> Untuk mengetahui pakej kelas ABDR: Sila klik di sini: PAKEJ KELAS ABDR

-->> Untuk pakej ebook ABDR: Sila klik di sini: EBOOK ABDR

-->> Untuk menjadi rakan niaga (pengurus online) ABDR: Sila klik di sini: RAKAN NIAGA ABDR

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

POPULAR ENTRI DI WAHM CORNER

KLIK JER!

KLIK JER!

KLIK JER!

NUFFNANG